AGENDA

Laporan palsu berkaitan kad pengenalan hilang meningkat

20 Mei 2021, 1:21 PM
Laporan palsu berkaitan kad pengenalan hilang meningkat

SHAH ALAM, 20 MEI: Polis Selangor mendapati terdapat peningkatan yang ketara dari segi jumlah laporan polis palsu yang diterima berkaitan kehilangan kad pengenalan dengan 108 laporan palsu telah disiasat untuk tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata jumlah tersebut adalah tinggi berbanding angka keseluruhan pada tahun lepas iaitu hanya 60 kes laporan palsu.

Beliau berkata daripada 168 laporan palsu itu, sebanyak 86 kes telah berjaya dituduh di mahkamah manakala 82 kes masih dalam siasatan polis.

"Siasatan polis mendapati penyebab utama laporan palsu dibuat kerana denda yang dikenakan ke atas setiap kehilangan kad pengenalan sekiranya berpunca dari kecuaian, namun pengecualian denda diberikan ke atas kes jenayah seperti kecurian, ragut dan samun," katanya.

Arjunaidi berkata orang ramai membuat laporan palsu kerana semata-mata untuk mengelakkan dari dikenakan denda dan sering mengaitkan dengan kehilangan kad pengenalan dengan menjadi mangsa jenayah.

Beliau berkata pihaknya menasihatkan orang ramai agar tidak membuat laporan palsu demi kepentingan peribadi kerana kesahihan sesuatu laporan polis akan diketahui selepas siasatan terperinci dilakukan sama ada laporan tersebut benar atau rekaan semata-mata.

Tegasnya individu yang membuat laporan palsu boleh disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda hingga RM 2,000 jika disabitkan kesalahan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619