AGENDA

Neelofa, suami mengaku tidak bersalah langgar SOP

20 Mei 2021, 3:13 AM
Neelofa, suami mengaku tidak bersalah langgar SOP

SEREMBAN, 20 MEI: Usahawan dan selebriti Noor Neelofa Mohd Noor dan suami, Muhammad Haris Mohd Ismail mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah kedai karpet, di Nilai, awal bulan ini.

Noor Neelofa atau lebih dikenali sebagai Neelofa, 32, dan Muhammad Haris atau dikenali sebagai PU Riz, 26, yang tiba di mahkamah pada 8.50 pagi, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Mahyun Yusoff.

Muhammad Haris didakwa atas dua kesalahan gagal mematuhi SOP PKPB dengan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual dan tidak memakai pelitup muka di Kedai Naeem Carpet Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Nilai 3, Nilai, pada 4 petang 2 Mei lepas.

Neelofa pula dituduh tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis itu atau menulis secara manual pada masa dan tarikh sama.

Mahkamah membenarkan Muhammad Haris diikat jamin RM10,000 untuk kedua-dua kesalahan manakala Neelofa diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Jun untuk sebutan semula kes.

Pasangan itu didakwa mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No.4) (Pindaan) (No.12) 2021.

Mereka boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling manakala kedua-dua pasangan berkenaan diwakili peguam Haresh Mahadevan.

Terdahulu Nor Azizah menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 terhadap Muhammad Haris manakala RM10,000 kepada Neelofa.

Sementara itu, Haresh berkata pihaknya membantah terhadap jaminan yang ditawarkan pendakwaan atas alasan anak guamnya hanya berdepan dengan kes saman bukan kes jenayah.

“Tiada peruntukan untuk jaminan kerana ia adalah kes saman tetapi mahkamah membenarkan ikat jamin iaitu RM10,000 bagi Haris dan RM5,000 terhadap Neelofa,” katanya kepada pemberita selepas prosiding itu.

Beliau berkata anak guamnya telah membayar wang jaminan tersebut.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619