AGENSI

Jais kesan jemaah langgar SOP, dirikan solat Jumaat tanpa kebenaran

17 Mei 2021, 1:00 AM
Jais kesan jemaah langgar SOP, dirikan solat Jumaat tanpa kebenaran

SHAH ALAM, 17 MEI: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesan beberapa pengurusan masjid dan surau di negeri ini yang melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarahnya berkata pelanggaran SOP seperti bilangan jemaah melebihi had, tidak memakai pelitup muka dan tidak menjaga penjarakan dikesan menerusi pemantauan pasukan pegawai penguat kuasa agama bermula 12 Mei lalu.

Dato' Mohd Shahzihan Ahmad berkata terdapat juga aduan jemaah mendirikan solat Jumaat di premis tidak dibenarkan yang melanggar Seksyen 97, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2018.

"Jais mengambil sikap memberi nasihat dan teguran secara baik pada peringkat ini. Bagaimanapun, tindakan tegas akan dilakukan sekiranya pelanggaran SOP masih berlaku pada siri pemantauan berikutnya.

"Tindakan ini demi kemaslahatan dan kesejahteraan umat Islam serta seluruh masyarakat di Selangor," katanya menerusi kenyataan semalam.

Sementara itu, beliau mengingatkan umat Islam di Selangor tidak membandingkan langkah diambil Jais dengan negeri lain memandangkan situasi dan latar penularan Covid-19 sangat berbeza.

Katanya, keputusan dibuat mendapat nasihat pihak berwajib terlebih dahulu dan selepas diperkenankan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

"Jais amat memahami keperluan serta keutamaan masjid dan surau untuk terus bergiat aktif sebagai pusat ibadah umat Islam setempat.

"Namun dalam menggerakkan masjid sebagai fungsi kesatuan ummah, ahli jemaah diminta janganlah menunjukkan tindakan tidak bijak apabila menentang penguatkuasaan SOP pentadbir masjid dan surau."

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619