AGENDA

Norma baharu Aidilfitri untuk perangi Covid-19 - Agong

12 Mei 2021, 1:46 PM
Norma baharu Aidilfitri untuk perangi Covid-19 - Agong

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini yang perlu sekali lagi disambut dengan norma baharu adalah untuk kebaikan dan masa depan bersama dalam usaha memerangi pandemik Covid-19.

Pengorbanan itu, titah Seri Paduka, menuntut semangat ukhuwah serta kesabaran seluruh rakyat Malaysia.

Walaupun tanpa aktiviti kunjung-mengunjung dan balik kampung di samping menikmati juadah tradisi, Al-Sultan Abdullah bertitah rakyat perlu bersyukur kerana masih lagi dapat melaksanakan ibadah di bulan Ramadan dan dikurniakan kesihatan untuk menyambut kedatangan Syawal.

"Beta menyedari rakyat terpaksa akur dengan pelbagai peraturan yang dikuatkuasakan demi membendung penularan pandemik Covid-19. Beta juga melihat dan mendengar keluh kesah sebilangan rakyat yang terkesan dengan pelbagai dugaan melanda," titah Seri Paduka dalam Perutusan Khas Aidilfitri yang disiarkan menerusi siaran televisyen dan radio, malam ini.

Yang di-Pertuan Agong tidak mahu kerukunan hidup bermasyarakat dilupakan menerusi tutur kata yang menanam benih-benih perbalahan sesama rakyat, dalam situasi semasa dihadapi negara.

Seri Paduka juga menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat tanpa mengira bangsa atau agama yang telah bersama-sama memerangi pandemik Covid-19.

Al-Sultan Abdullah tidak lupa mengajak setiap rakyat bersama-sama menghargai jasa, komitmen, keberanian dan pengorbanan petugas barisan hadapan negara yang telah mencurah khidmat bakti dengan penuh kegigihan untuk membendung penularan wabak Covid-19.

“Kepada seluruh rakyat Malaysia, marilah kita menyambut Hari Raya Aidilfitri ini sebagai satu bangsa Malaysia yang bersatu padu dan dengan penuh rasa kesyukuran.

“Teruskanlah melangkah ke hadapan dengan menjaga kesihatan diri dan mematuhi semua peraturan yang digariskan,” titah Seri Paduka.

Menerusi kesatuan seluruh rakyat Malaysia, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan keyakinan bahawa negara akan berupaya membendung penularan pandemik Covid-19.

"Beta dan Raja Permaisuri Agong mendoakan agar rakyat Malaysia dan negara sentiasa berada di bawah perlindungan Allah SWT serta dijauhi dari sebarang musibah dan bencana.

“Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia yang beta kasihi. Maaf zahir dan batin,” titah Seri Paduka.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619