ad
AGENDA

Polis Shah Alam kendali lima sekatan jalan

10 Mei 2021, 2:10 PM
Polis Shah Alam kendali lima sekatan jalan

SHAH ALAM, 10 MEI: Satu sekatan jalan raya (SJR) tetap dan empat SJR bergerak dilaksanakan di kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam susulan penguatkuasaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 6 Mei lepas.

Ketua Polis IPD Shah Alam ACP Baharuddin Mat Taib berkata satu SJR tetap dijalankan arah masuk Shah Alam di plaza Tol Bukit Jelutong manakala selebihnya akan dilaksanakan secara bergerak mengikut keperluan dan keadaan tempat.

"Empat SJR bergerak akan dikendalikan oleh balai-balai (bawah IPD Shah Alam) iaitu Balai Polis Sri Muda, Bukit Jelutong, Seksyen 9 dan Seksyen 6," katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan SJR Plaza Tol Bukit Jelutong hari ini.

Baharuddin berkata pihaknya juga turut menggerakkan lebih 10 pasukan peninjau pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) PKP di samping pasukan khas bagi menjalankan aktiviti pencegahan jenayah menjelang sambutan perayaan Aidilfitri.

Katanya, sebanyak 26 pegawai dan 147 anggota terlibat dalam penugasan berkaitan Covid-19 serta pematuhan SOP khususnya menjelang Aidilfitri pada Khamis ini.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.