AGENDA

Shopee kutip lebih RM200,000 zakat fitrah

7 Mei 2021, 12:10 PM
Shopee kutip lebih RM200,000 zakat fitrah

PUTRAJAYA, 7 MEI: Platform e-dagang Shopee telah bekerjasama dengan tiga institusi zakat iaitu Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) serta Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sempena bulan Ramadan ini.

Sehingga kini, kerjasama tersebut telah berjaya menarik lebih 10,000 pengguna dalam kalangan umat Islam membayar zakat fitrah secara dalam talian menerusi platform itu.

Pengarah Urusan Serantaunya Ian Ho berkata jumlah pembayaran yang direkodkan bagi tempoh 12 April hingga kini ialah kira-kira RM200,000.

“Selain memudahkan umat Islam menunaikan zakat fitrah, platform kami (Shopee) tidak mengenakan sebarang bayaran perkhidmatan kepada pelanggan.

“Para pengguna hanya perlu memilih pembayaran zakat melalui ‘Deals, Top-ups & Bills’ dalam aplikasi Shopee dan ikuti langkah-langkah mudah yang diberikan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga menyasarkan untuk menjalin kerjasama dengan semua institusi zakat di seluruh negara pada masa hadapan.

Ho berkata Shopee akan terus berusaha meningkatkan komitmen memudahkan umat Islam khususnya bagi menunaikan zakat fitrah untuk disalurkan kepada golongan memerlukan lebih-lebih lagi ketika negara berdepan ancaman pandemik Covid-19.

Pengguna setia Shopee Nur Hazwani Ishak pula berkata beliau memanfaatkan kemudahan itu tahun ini memandangkan ia memudahkan pengguna kerana dapat membayar zakat fitrah pada bila-bila masa dan di mana sahaja menerusi platform e-dagang tersebut.

“Pengguna tidak perlu risau, proses pembayaran adalah sama seperti kaedah bersemuka. Ia mudah, hanya masukkan jumlah zakat fitrah yang ingin dibayar dan akan ada 'pop-up' niat menunaikan zakat sebelum meneruskan transaksi,” katanya.

Hazwani juga memaklumkan bahawa beliau menerima resit transaksi daripada institusi zakat sejurus membuat pembayaran.

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619