AGENDA

Dron jadi 'mata' polis pantau SOP bazar Ramadan

5 Mei 2021, 12:06 AM
Dron jadi 'mata' polis pantau SOP bazar Ramadan

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Dron sekali lagi menjadi 'mata’ kepada pihak berkuasa khususnya polis apabila teknologi itu turut digunakan memantau pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) pencegahan Covid-19 dalam kalangan pengunjung bazar Ramadan di sekitar ibu kota.

Tinjauan Bernama di Bazar Ramadan Desa Pandan petang semalam mendapati pengoperasian dron itu digunakan untuk memantau pergerakan serta memberi amaran dan peringatan kepada pengunjung menerusi pembesar suara yang ada pada dron itu.

Video dan gambar akan dirakamkan dan boleh dilihat di pusat operasi unit dron yang ditetapkan bagi memantau pergerakan pengunjung di bazar.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah ketika dihubungi berkata pemantauan menggunakan dron selain kehadiran anggota polis di bazar Ramdan akan diteruskan sehingga menjelang Aidilfitri.

“Hari ini pengunjung tidak ramai seperti hari cuti dan hujung minggu… walau bagaimanapun polis tetap mengetatkan kawalan di semua pintu masuk bazar bagi memastikan penjarakan fizikal dipatuhi,” katanya.

Pada 1 Mei lepas, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani (kini Ketua Polis Negara) berkata polis menggunakan dron untuk memantau pematuhan SOP di bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri di sekitar Lembah Klang.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619