AGENDA

Tahap kerjasama masyarakat perangi rasuah meningkat

4 Mei 2021, 12:19 AM
Tahap kerjasama masyarakat perangi rasuah meningkat

PUTRAJAYA, 4 MEI: Tahap kesanggupan, kesediaan dan kerjasama masyarakat untuk bersama-sama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memerangi rasuah meningkat setiap tahun sejak 2018, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil.

Menerusi kajian Keberkesanan Tindakan Pencegahan Rasuah yang dilakukan oleh SPRM, tahap kesanggupan masyarakat pada 2018 direkodkan pada kadar 82 peratus dan ia meningkat kepada 82.7 peratus pada 2019 dan 86.3 peratus pada tahun lepas, katanya.

Bagi tahap kesediaan masyarakat pula, pada 2018 adalah sebanyak 81.1 peratus dan meningkat kepada 82.1 peratus pada 2019 dan 85.6 peratus pada tahun lepas.

“Tahap kerjasama masyarakat bersama SPRM pula, pada 2018 adalah sebanyak 81 peratus diikuti 81.8 peratus pada 2019 dan 84.6 peratus pada tahun lepas,” katanya ketika berucap pada program Strategic Engagement dengan media Sempena Hari Kebebasan Media Sedunia di sini semalam.

Menerusi kajian itu juga, katanya tahap pengetahuan masyarakat mengenai rasuah meningkat setiap tahun iaitu pada 2018 sebanyak 72.5 peratus, 2019 (74.3 peratus) dan 2020 (77.7 peratus).

Pada majlis itu, beliau berterima kasih kepada media atas liputan, laporan dan artikel berkaitan SPRM dan pencegahan rasuah yang meluas dengan sebanyak 32,132 artikel dan laporan berkaitan SPRM dan rasuah telah disiarkan menerusi medium media cetak, televisyen, radio dan portal berita sepanjang tahun lepas.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 8,486 disiarkan di media cetak, 4,266 di televisyen, 345 di radio manakala 19,035 pula menerusi portal berita, katanya.

Shamshun Baharin berkata setiap peranan SPRM perlu diperjelaskan lagi kepada umum secara berterusan supaya tahap keyakinan masyarakat terhadap SPRM terus meningkat.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619