AGENDA

MB: Tiga perkara jadi kayu ukur cadangan perubahan PKPB di Selangor

30 Apr 2021, 7:54 AM
MB: Tiga perkara jadi kayu ukur cadangan perubahan PKPB di Selangor

RAWANG, 30 APRIL: Tiga perkara menjadi kayu ukur terhadap syor perubahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor untuk pertimbangan kerajaan persekutuan.

Dato' Menteri Besar berkata ia meliputi pertambahan kes positif Covid-19, jangkitan ada kaitan kawasan tumpuan awam dan kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) semakin meningkat.

"Kita ada angkat beberapa cadangan namun yang penting kita mahu masa yang sesuai (perubahan pelaksanaan PKPB) dan bukan secara tiba-tiba.

"Sebab itu kita ada cadangkan tarikh bila bermula tetapi syor ini akhirnya akan dibincangkan di peringkat persekutuan sebelum diputuskan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," kata Dato' Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan program publisiti dan penyertaan awam Draf Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Selayang 2030 (DRTMPS 2030) di Le Gardens Pavilion hari ini.

Amirudin memaklumkan pihaknya sudah mengadakan sidang khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negara (Selangor) hari ini bagi meneliti semula pelaksanaan perintah tersebut susulan peningkatan kes Covid-19 di negeri ini.

"Kita berharap kerajaan persekutuan akan umum sesuatu petang ini atau esok dan saya akan berjumpa yang dipertua pihak berkuasa tempatan berdasarkan pengumuman itu nanti," katanya.

Beliau menambah kes membabitkan tempat kerja berjaya dikawal dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini namun penularan di kawasan tumpuan orang ramai membimbangkan.

"Jadi, kita perlu ambil tindakan tertentu untuk mengelak perebakan tidak terkawal kerana kita tidak mahu jadi seperti Italy dan India," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619