AGENDA

Berang diarah keluar, warga emas bakar rumah sewa

30 Apr 2021, 5:21 AM
Berang diarah keluar, warga emas bakar rumah sewa

JOHOR BAHRU, 30 APRIL: Seorang lelaki warga emas dipercayai bertindak membakar rumah sewanya kerana tidak berpuas hati setelah diarah keluar oleh pemilik rumah tersebut di Jalan Maju 3, Taman Pelangi, di sini malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Larkin Timbalan Penguasa Bomba I Mohd Suhaimi Abdul Jamal berkata pihaknya menerima maklumat menerusi panggilan kecemasan pada 12.10 tengah malam dan menggerakkan 28 anggota dengan lima jentera selain turut dibantu BPP Tebrau.

“Kebakaran dipercayai bermula di bahagian ruang tamu rumah dan berdasarkan maklumat daripada jiran berdekatan, individu yang berumur 60an itu membakar rumah sewanya sebelum bertindak melarikan diri.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, bomba mendapati terdapat dua rumah teres satu tingkat terbakar dengan satu daripadanya musnah sebanyak 80 peratus, manakala rumah sebelahnya hanya terbakar 10 peratus sahaja,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Menurut Mohd Shuhaimi, pihak bomba yang telah berjaya mengawal kebakaran bagaimanapun terpaksa bergegas semula ke lokasi kejadian setelah mendapat maklumat individu terbabit pulang semula dan cuba membakar rumah itu sekali lagi.

“Kita berjaya tangkap individu terbabit yang menganggu pihak bomba menjalankan tugas dan telah diserahkan kepada Balai Polis Taman Pelangi,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan maklumat jiran berdekatan, suspek mempunyai isteri serta anak di Singapura dan disyaki mengalami masalah mental, selain dikehendaki keluar daripada rumah disewanya oleh pemilik pada hari ini (30 April).

Sementara itu, Ketua Polis Johor Bahru Selatan ACP Mohd Padzli Mohd Zain ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

“Kes ada berlaku dan libat tangkapan serta masih dalam siasatan,” katanya.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619