AGENDA

Dua individu guna kepala surat Istana Negara untuk rentas negeri ditahan

28 Apr 2021, 12:10 PM
Dua individu guna kepala surat Istana Negara untuk rentas negeri ditahan
Dua individu guna kepala surat Istana Negara untuk rentas negeri ditahan

KUALA LUMPUR, 28 APRIL: Polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita yang mengemukakan surat, dengan kepala surat tertera nama Istana Negara Jalan Tuanku Abdul Rahman, sebagai kebenaran untuk rentas negeri, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata ia bermula apabila anggota polis Cawangan Unit Rondaan Bermotosikal Balai Polis Dang Wangi yang sedang membuat rondaan di hadapan McDonald's Jalan P.Ramlee melihat suspek berumur 27 dan 47 itu dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata semasa pemeriksaan dijalankan, suspek menyerahkan tiga keping surat, kononnya dokumen yang memberi kebenaran untuk rentas negeri.

“Setelah diperiksa, surat itu didapati menggunakan kepala surat atas nama Istana Negara, Jalan Tuanku Abdul Rahman, dengan surat berkenaan menjelaskan kebenaran diperoleh daripada Duli Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Zainal berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu manakala kedua-dua suspek kini direman selama tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan.

“Wanita itu didapati pernah terlibat dengan siasatan di bawah Seksyen 489(c) Kanun Keseksaan kerana memiliki wang palsu dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan (menipu) pada tahun 2017 dan 2018, manakala lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan kebenaran pergerakan rentas sempadan negeri menggunakan Borang Permit Pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia,” katanya.

Beliau berkata sebarang maklumat berkaitan penggunaan dokumen rentas negeri yang tidak sah boleh disalurkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 atau hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619