AGENDA

FAM telus, tidak berpihak laksanakan hukuman

25 Apr 2021, 3:01 PM
FAM telus, tidak berpihak laksanakan hukuman

KUALA LUMPUR, 25 APRIL: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sentiasa mengambil pandangan dan mengikut lunas undang-undang dalam menjatuhkan hukuman atau membuat sebarang keputusan penting demi memelihara keharmonian kancah bola sepak tempatan.

Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam berkata badan induk bola sepak negara itu sentiasa bertindak sebagai 'orang tengah' dan segalanya dilakukan secara telus termasuk keputusan melibatkan mutu pengadilan ataupun kelakuan pemain.

Katanya, sesuatu hukuman serta keputusan juga dibuat tanpa tekanan daripada mana-mana pihak termasuk warga maya yang lantang menyuarakan pandangan menerusi media sosial sehingga memberikan persepsi negatif terhadap FAM.

"Kalau kita mengikut tekanan daripada warga maya setiap perlawanan kita perlu ambil tindakan, saya rasa FAM tidak begitu. Segala yang dilaporkan FAM dan tindakan ke atas pengadil atau pemain semua diterangkan dengan jelas, tiada yang disembunyikan.

"Tugas FAM adalah untuk kekal tidak berat sebelah kepada mana-mana pihak atau dalam apa jua situasi, kita ambil kedudukan tengah untuk memastikan keputusan dibuat dengan betul," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Stuart berkata FAM juga sentiasa mendapatkan pandangan daripada setiap jawatankuasanya yang terlibat selain mekanisme pelaksanaan hukuman mengikut prosedur yang betul.

"Tetapi ada keputusan yang diambil secara dalaman, namun kita masih mengikut undang-undang permainan," tambah beliau.

Sebagai rekod, tiga pengadil telah dikenakan hukuman sepanjang kempen Liga Malaysia (Liga-M) 2021 dengan dua daripadanya digantung tugas selama dua minggu sementara seorang lagi diarahkan mengikuti program penambahbaikan.

Sementara itu, tiga pemain iaitu pemain Petaling Jaya City FC Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri, Hein Htet Aung (Selangor FC 2) dan Ignacio Insa Bohigues (JDT) telah digantung dua perlawanan atas kesalahan berbeza manakala Jack Raymond Hindle (Kelantan FC) dan Alex Dos Santos (Melaka United) hanya diberi amaran keras.

Musim ini menyaksikan kualiti pengadilan pegawai perlawanan tempatan sekali lagi menjadi perhatian, selain timbul insiden menolak pengadil melibatkan beberapa pemain import dan tempatan, namun Stuart menegaskan FAM sentiasa mencari jalan terbaik bagi membendung sesuatu yang tidak diingini berlaku.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619