AGENDA

Petronas Gas peruntuk belanja modal sehingga RM1.3 bilion

21 Apr 2021, 2:39 AM
Petronas Gas peruntuk belanja modal sehingga RM1.3 bilion

KUALA LUMPUR, 21 APRIL: Petronas Gas Bhd (PGB) memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) antara RM1.2 bilion dan RM1.3 bilion untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2021 daripada RM1.1 bilion yang dibelanjakan pada tahun kewangan sebelumnya.

Ketua Pegawai Kewangan Shariza Sharis M. Yusof berkata paras capex yang lebih tinggi pada tahun kewangan 2021 sejajar dengan semua aktiviti yang dirancang pada tahun semasa yang termasuklah saluran paip gas lateral sepanjang 42 kilometer (km), yang akan membekalkan gas ke Loji Tenaga Pulau Indah yang dicadangkan di Selangor.

“Pada tahun lepas, beberapa aktiviti terjejas berikutan sekatan pergerakan susulan pandemik Covid-19. Pada tahun ini, kami menjangka akan terdapat sedikit peningkatan (dalam capex) berikutan kami mempunyai projek pertumbuhan baharu termasuk saluran paip gas lateral sepanjang 42 km,” katanya pada sidang media secara maya selepas mesyuarat agung tahunan PGB semalam.

Shariza Sharis berkata peralihan tenaga tidak akan menjejaskan PGB berikutan lebih 90 peratus daripada pendapatannya telah ditetapkan di bawah perjanjian kontrak jangka panjangnya.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Abdul Aziz Othman berkata pembangunan projek saluran paip gas untuk membekalkan gas ke loji Pulau Indah yang dicadangkan itu sedang dilaksanakan seperti yang dijadualkan, termasuk pengambilalihan tanah dan kerja-kerja kejuruteraan. Saluran paip akan mula beroperasi pada awal 2023.

“Kami telah memberikan kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) kepada kontraktor pada Mac tahun ini,” katanya.

PGB telah mengenal pasti beberapa projek yang kini dalam peringkat perancangan dengan bidang tumpuannya, termasuk penyelesaian utiliti bersepadu, di beberapa zon perindustrian yang sedang dibangunkan di Koridor Ekonomi Selatan dan Koridor Ekonomi Utara, kata Abdul Aziz.

“Bidang tumpuan lain ialah merancang untuk meningkatkan kapasiti untuk penjanaan tenaga kami yang sedia ada. Itu adalah projek yang sedang kami kaji dan masih di peringkat penilaian,” katanya.

Mengenai prospeknya, Abdul Aziz berkata PGB kekal optimis dengan jangkaan pemulihan ekonomi yang disokong oleh pelaksanaan Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan dan unjuran Bank Negara Malaysia mengenai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar.

“Permintaan terhadap gas dan utiliti akan meningkat sejajar dengan jangkaan pemulihan ekonomi,” katanya.

Walaupun PGB terus menyokong liberalisasi industri gas melalui akses pihak ketiga, kumpulan itu turut berusaha untuk berkembang seiring dengan kadar pertumbuhan perniagaan dengan pelbagai peluang dinilai, katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619