AGENDA

Sekolah, institusi pendidikan di tujuh daerah PKP Kelantan ditutup

18 Apr 2021, 5:03 AM
Sekolah, institusi pendidikan di tujuh daerah PKP Kelantan ditutup

KOTA BHARU, 18 APRIL: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan mengarahkan semua sekolah dan institusi pendidikan yang berada di tujuh jajahan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri itu ditutup bermula hari ini hingga 24 April depan.

Pengarah JPN Kelantan Zulkernai Fauzi berkata keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Khas Kelantan - Penguatkuasaan Covid-19 petang semalam.

Beliau berkata jawatankuasa mencadangkan kepada JPN supaya menutup semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di tujuh jajahan yang dilaksanakan PKP.

"Cadangan ini dipertimbangkan dan dengan mengambil kira situasi semasa, KPM membuat ketetapan semua sekolah yang berada dalam jajahan PKP diarah tutup bagi tempoh tujuh hari mulai 18 hingga 24 April.

“Selaras dengan keputusan itu, semua murid yang tinggal di asrama perlu kekal berada di asrama," katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkernai berkata arahan itu akan dimaklumkan kepada semua pentadbir sekolah di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk tindakan selanjutnya.

Serentak itu juga, beliau berkata guru hendaklah dipastikan dapat melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berdasarkan kesesuaian dan keupayaan akses kepada komunikasi murid sepanjang tempoh penutupan sekolah.

Jelasnya, pada masa sama semua pegawai Pendidikan Daerah hendaklah terus membuat pemantauan semua sekolah bagi memastikan tatacara operasi piawai (SOP) berkaitan dipatuhi.

Rabu lepas, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tujuh kawasan di Kelantan yang terdiri daripada jajahan/daerah di Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok, Machang, Tumpat dan Tanah Merah dikenakan PKP bermula 16 hingga 29 April.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619