AGENDA

Dalang video promosi judi diburu, lapan individu ditahan

17 Apr 2021, 3:17 AM
Dalang video promosi judi diburu, lapan individu ditahan

KUALA LUMPUR, 17 APRIL: Lima lelaki dan tiga wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam penggambaran sebuah video yang mempromosikan perjudian secara dalam talian, yang tular di media sosial sejak semalam sehingga membangkitkan kemarahan orang ramai.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata kesemua individu yang ditahan itu dipercayai terlibat sebagai pelakon, ejen artis, juruvideo, jurukamera, produser, pengarah dalam penggambaran video berkenaan.

“Kesemua mereka mengaku menerima bayaran bagi pembikinan video itu yang diadakan di dua lokasi iaitu Ampang dan Hulu Langat, Selangor pada 13 Mac lepas. Usaha mengesan dalang sebenar di sebalik pembikinan video berkenaan masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua mereka direman dan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1)(G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Setakat ini, katanya polis telah menerima 38 laporan berhubung perkara itu.

Beliau seterusnya menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi kerana siasatan masih dijalankan, dan mereka yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes itu boleh menyalurkannya kepada polis.

Sementara itu mengulas berkenaan penyebaran sebuah lagi video yang turut mempromosikan perjudian dalam talian yang tular hari ini, Acryl Sani berkata pihaknya sudah mengambil maklum berhubung perkara itu.

“Setakat ini belum ada laporan tetapi saya sudah arahkan satu laporan polis dibuat untuk siasatan lanjut,” katanya.

Difahamkan hari ini tular di media sosial sebuah lagi video mempromosikan perjudian dalam talian dengan bertemakan perayaan Aidilfitri.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619