AGENDA

Gara-gara cemburu, lelaki tolak isteri dari tingkat 18 kondominium

11 Apr 2021, 11:50 PM
Gara-gara cemburu, lelaki tolak isteri dari tingkat 18 kondominium

GEORGE TOWN, 12 APRIL: Kematian seorang wanita yang mayatnya ditemukan di atas bumbung bilik panel suis elektrik milik Tenaga Nasional Berhad di Kondominium Bukit Awana, Air Itam kelmarin, dipercayai akibat jatuh dari tingkat 18 kondominium itu, disyaki ditolak oleh suaminya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata mayat wanita berusia 35 tahun itu ditemukan orang awam pada 12.06 tengah malam semalam (10 April) dan suspek ditahan polis setengah jam kemudian di rumah pasangan tersebut.

"Mayat mangsa yang bekerja sebagai ejen insurans itu ditemukan oleh penduduk di situ dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah. Hasil soal siasat ke atas suaminya yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah kedai makan, lelaki itu mengaku telah bertindak menolak mangsa setelah berlaku pergaduhan.

"Pasangan itu bergaduh di rumah mereka di tingkat 18 selepas suspek mengesyaki mangsa menjalinkan hubungan dengan lelaki lain,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya ujian air kencing ke atas lelaki itu turut mendapati suspek positif dadah dan dia kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kerana membunuh.

Mengulas kes lain, Soffian berkata pihaknya turut menerima laporan mengenai penemuan seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di hadapan pejabat Persatuan Perkembangan Kesihatan Keluarga Pulau Pinang di Jelutong kira-kira 7.40 malam kelmarin.

Menurutnya, bayi lelaki yang masih bertali pusat itu ditemukan oleh seorang lelaki berusia 43 tahun yang datang ke premis berkenaan.

“Turut ditemukan bersama-sama bayi lelaki itu ialah satu nota bertulis ‘tolong jaga budak ini’,” katanya.

Beliau berkata bayi itu dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk tindakan selanjutnya dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat di talian 019-473 5105 atau melaporkan di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619