AGENDA

Palsu laporan ujian Covid-19, remaja perempuan ditahan polis

8 Apr 2021, 12:15 AM
Palsu laporan ujian Covid-19, remaja perempuan ditahan polis

JOHOR BAHRU, 8 APRIL: Tindakan seorang remaja perempuan memalsukan laporan keputusan ujian calitan Covid-19 bagi menunjukkan kononnya dia positif Covid-19, mengundang padah apabila dia ditahan polis kelmarin.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata remaja berumur 19 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1.00 tengah hari di sebuah rumah di Mutiara Rini, Skudai susulan laporan polis dibuat seorang pemilik sebuah restoran, yang merupakan majikan remaja perempuan itu.

Beliau berkata lelaki berumur 32 tahun itu mendakwa menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada pekerjanya yang menghantar foto sekeping surat mendakwa positif Covid-19.

“Sejurus menerima mesej berkenaan, majikan itu bertindak menutup restorannya dan pergi ke klinik bersama 12 pekerja lain untuk membuat ujian calitan Covid-19. Ujian kemudian mengesahkan majikan dan 12 pekerja terbabit negatif Covid-19,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Dzulkhairi berkata majikan itu kemudian bertanya sendiri kepada remaja itu bagi mengetahui cerita sebenar, sebelum remaja perempuan itu mengaku menipu majikannya disebabkan tidak mahu datang bekerja gara-gara merasakan dirinya tidak sesuai bekerja sebagai pelayan restoran.

“Menurut majikan terbabit, remaja perempuan itu baru sehari diterima bekerja di restoran berkenaan Isnin lepas,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420/468 Kanun Keseksaan kerana memalsukan laporan pemeriksaan ujian calitan Covid-19 dan polis akan memohon perintah tahanan reman terhadap remaja perempuan itu esok untuk membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619