AGENSI

Kerja kuat KSSB majukan perlombongan mineral berbaloi

3 Apr 2021, 6:30 AM
Kerja kuat KSSB majukan perlombongan mineral berbaloi

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: Kerja kuat selama lima tahun Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dalam memajukan industri perlombongan mineral di negeri ini berbaloi apabila mendapat pengiktirafan International Business Review Asean 2020.

Ketua Pegawai Kewangannya Mohamed Fariz Ghazali berbesar hati kerana The IBR Asia Group memilih organisasi terbabit sebagai penerima anugerah kecemerlangan korporat dalam sektor utama pengurusan perlombongan transformatif dan lestari.

"Setelah bertungkus-lumus mentransformasikan sektor perlombongan mineral dalam tempoh lima tahun kebelakangan, penganugerahan ini seolah-olah menjadi batu loncatan atau suplemen kepada KSSB untuk bergerak lebih maju pada masa hadapan.

"Justeru, kita tekad memastikan KSSB terus menjadi peneraju utama dalam pembangunan sumber asli mineral terutama perlombongan bijih timah selaras misi MB (Dato' Menteri Besar) untuk memajukan industri berkenaan di Selangor," katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah tersebut di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini malam tadi.

Menurutnya, kejayaan itu adalah kedua terbesar selepas meraih tempat pertama anugerah kategori amalan terbaik dalam pembangunan mineral mampan di ASEAN Mineral Award di Bangkok, Thailand pada Disember 2019.

Ditubuhkan pada 26 Jun 2008, organisasi berkenaan menggalas tanggungjawab dalam pengurusan pengekstrakan, pengeluaran dan penjualan pasir, bahan batuan serta sumber mineral.

Sehingga 30 Mei tahun lalu, KSSB berjaya mengeluarkan dan menjual lebih 84 juta tan metrik pasir selain melaksana kerja penyelenggaraan sungai melebihi 279.75 kilometer panjang serta muka sauk loji rawatan air termasuk kolam takungan banjir di Selangor melalui model perniagaan penjualan pasir.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619