AGENDA

Anak Selangor pelajar termuda kolej perubatan, dapat tajaan RM1.1 juta

31 Mac 2021, 8:46 AM
Anak Selangor pelajar termuda kolej perubatan, dapat tajaan RM1.1 juta

SHAH ALAM, 31 MAC: Dato' Menteri Besar menyampaikan pembiayaan pendidikan berjumlah RM1.1 juta kepada seorang pelajar perubatan negeri ini yang melanjutkan pengajian di luar negara.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata Biasiswa Selangor Bitara (Bitara) membantu Emir Haady Imran Zulkharnain, 18, meneruskan pembelajaran di Royal College of Surgeons (RCSI), Ireland.

Beliau berkata anak kelahiran Selangor yang mengambil jurusan perubatan dan pembedahan merupakan individu pertama ditawarkan biasiswa tersebut di peringkat ijazah sarjana muda.

"Program Bitara dijenamakan semula daripada Selangor Brain Bank yang sebelum ini khusus untuk anak Selangor melanjutkan pengajian ijazah kedoktoran (PhD) di universiti terkemuka dunia.

"Emir Haady melakar kejayaan sebagai pelajar termuda diterima masuk RCSI ketika umur 16 tahun dan bakal menamatkan pengajian pada usia 20 tahun," katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor di sini.

Emir Haady berjaya menduduki peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) di STARS International Academy di Kelana Jaya ketika berusia 14 tahun.

Melalui peperiksaan itu, dia memperoleh 6A+ bagi mata pelajaran matematik antarabangsa, fizik, kimia, biologi, bahasa melayu dan matematik, A1 untuk matematik tambahan dan 1B bagi bahasa inggeris.

Pada usia 15 tahun, dia menamatkan pengajiannya pada peringkat A-Level dengan memperoleh A bagi mata pelajaran kimia dan matematik serta A+ untuk fizik.

Sementara itu, Amirudin turut menyampaikan Biasiswa Khas Dato' Menteri Besar berjumlah RM450,000 kepada empat pelajar yang melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda di Jordan, Maghribi dan Mesir.

Mereka adalah Ainul Mardhiah Mohamad Room, Nurul Aqilah Muhammad, Mohd Shayuti Ikram Shefidi dan Muhammad Muzzammil Ahmad Nor yang diwakili keluarga masing-masing.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619