SELANGOR

Lelaki hilang ditemui mati atas bumbung kedai di Meru

30 Mac 2021, 11:25 AM
Lelaki hilang ditemui mati atas bumbung kedai di Meru

SHAH ALAM, 30 MAC: Mayat seorang lelaki yang hilang sejak Jumaat lepas ditemukan di atas bumbung sebuah kedai besi di Kampung Bukit Kapar, Meru semalam, dipercayai terjatuh dari pokok mangga berhampiran kedai itu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Nurulhuda Mohd Salleh berkata pihaknya mendapat panggilan pada 7 malam semalam yang memaklumkan bahawa satu mayat dijumpai di atas bumbung kedai tersebut.

Beliau berkata mangsa yang berusia 54 tahun itu bekerja mengambil upah mengecat di lokasi kejadian sejak seminggu yang lalu.

"Siasatan awal mendapati tiada kesan perlakuan jenayah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Nurulhuda berkata saksi memberitahu si mati pernah beberapa kali memanjat pokok mangga di situ untuk mendapatkan buah dan dipercayai mangsa memanjat pokok itu untuk mengambil buah lalu terjatuh di atas atap dan tidak sedarkan diri sehingga mayatnya ditemui.

“Kali terakhir si mati dilihat pada petang Jumaat lalu dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut sehingga mendapat keputusan bedah siasat," katanya.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor ketika dihubungi berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada 7.54 malam semalam.

Beliau berkata mangsa yang tiga hari dicari oleh keluarganya ditemui dalam keadaan sudah berulat.

"Kita tengok keadaan mayat itu dah berulat jadi kita lakukan kerja sanitasi dan menurunkan mangsa kemudian kita serahkan pada pihak polis," katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619