AGENDA

Kerajaan digesa benarkan kemudahan kesihatan swasta beli, beri vaksin

28 Mac 2021, 4:48 AM
Kerajaan digesa benarkan kemudahan kesihatan swasta beli, beri vaksin

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Kerajaan wajar menimbang untuk membenarkan kemudahan kesihatan swasta membeli dan melaksanakan suntikan vaksin Covid-19 ke atas mereka yang mampu membayar kos itu bagi mempercepatkan pencapaian sasaran 80 peratus penduduk Malaysia menerima imunisasi Covid-19, kata Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat.

Pengerusinya Tan Sri Lee Lam Thye berkata tempoh menunggu yang lama bagi golongan tidak berisiko tinggi serta kewujudan kumpulan antivaksin dan pengkritik, selain kelelahan masyarakat akibat terlalu lama mengharungi pandemik ini, boleh mencetuskan keraguan terhadap kemampuan memberi imunisasi kepada 9.4 juta penduduk bagi tempoh sekarang hingga Ogos depan.

“Isu-isu ini mesti ditangani secara berkesan dan berterusan oleh kerajaan. Untuk itu, Jawatankuasa Penasihat Bebas Vaksinasi Covid-19 wajar mendapatkan bantuan dan kerjasama badan bukan kerajaan berasaskan masyarakat serta pertubuhan agama, selain memulakan kempen menghebahkan pesanan dalam pelbagai bahasa, bagi menangani ketakutan yang tidak berasas dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mengingatkan masyarakat agar mengambil serius amaran Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah tentang kemungkinan kes Covid-19 kembali meningkat.

“Kenyataan beliau adalah berdasarkan kadar kebolehjangkitan (Rt) dalam tempoh tiga hari lepas yang meningkat kepada 1.0, tertinggi sejak awal Mac.

“Malaysia kini di kedudukan ke-45 daripada 216 negara yang disenaraikan sebagai terjejas oleh jangkitan Covid-19. Dunia sekarang dilanda gelombang ketiga jangkitan itu yang bermula pada September tahun lepas, dan gelombang ini dijangka lebih buruk berbanding dua gelombang terdahulu,” kata Lee.

Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat agar tidak alpa dalam pematuhan terhadap prosedur operasi standard, apatah lagi ketika kerajaan sudah memberi kelonggaran kepada beberapa sekatan yang dikuatkuasakan sebelum ini.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619