AGENDA

Polis perketat sekatan jalan, elak rentas negeri hujung minggu

16 Mac 2021, 9:53 AM
Polis perketat sekatan jalan, elak rentas negeri hujung minggu

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperketatkan sekatan jalan raya (SJR) pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad untuk mengelakkan pergerakan rentas negeri dalam kalangan orang ramai sebagai usaha memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata ini berikutan PDRM mendapati setiap petang Jumaat hingga Ahad ramai orang mula melakukan perjalanan rentas negeri dengan pelbagai alasan, terutama untuk keluar dari Selangor dan Lembah Klang.

“Hanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tertentu sahaja membenarkan (rentas negeri) dengan permit atas alasan seperti suami isteri yang berjauhan, hantar anak balik asrama dan sebagainya tetapi kita tengok setiap Jumaat trafik meningkat takkan kecemasan hanya berlaku pada hari Jumaat?

“Oleh itu, saya ambil langkah untuk memperketatkan SJR kerana Selangor masih diisytiharkan sebagai negeri di bawah PKP Bersyarat dan akan melonggarkan SJR sekiranya Selangor bertukar status kepada PKP Pemulihan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sekatan jalan raya di Selangor hanya dilonggarkan untuk jalan-jalan di dalam bandar sahaja.

“Saya amat memahami kesusahan yang mereka (rakyat) alami dan saya amat bersimpati tetapi mereka perlu ambil pedoman bahawa apa yang polis lakukan adalah untuk kebaikan mereka.

“Kepada mereka yang curi-curi keluar menggunakan alasan remeh walaupun dibenarkan atas budi bicara polis, usahlah buat pergerakan...hari demi hari pihak Kementerian Kesihatan (KKM) beri amaran bahawa kluster ‘interstate’ (rentas negeri) di Kelantan dan Johor yang dari Selangor,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619