AGENDA

Zoo Negara dibuka semula mulai Jumaat

3 Mac 2021, 3:32 PM
Zoo Negara dibuka semula mulai Jumaat

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Zoo Negara akan kembali dibuka kepada pengunjung bermula Jumaat ini, dengan menawarkan 20 peratus diskaun bagi harga tiket dewasa dan kanak-kanak sebagai usaha menarik pengunjung ke situ.

Timbalan Presidennya Rosly Ahmad Lana berkata pembukaan Zoo Negara mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata tatacara operasi piawai (SOP) ketat tetap dilaksanakan dengan hanya 2,500 pengunjung dibenarkan pada satu masa bermula 9 pagi hingga 5 petang.

“Kami bersyukur dan berterima kasih walaupun dalam tempoh PKPB (sebelum ini), kunjungan begitu menggalakkan. Kami sebenarnya bimbang kerana sekiranya Zoo Negara masih belum dibuka, pihak kami akan mengalami masalah,” katanya pada sidang media hari ini.

Rosly berkata sepanjang PKP pihaknya menerima sumbangan lebih RM11 juta daripada badan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), badan sukarelawan serta individu, sejak Jan 2020 hingga Jan 2021.

Menurut beliau, sumbangan bagi membeli bekalan makanan haiwan, perubatan serta menguruskan haiwan secara berterusan itu dijangka mampu bertahan hingga April ini.

Sementara itu, Rosly turut melepaskan 500 kilogram (kg) ikan rohu dan 400 kg ikan keli Afrika di Tasik Tunku Abdul Rahman yang dibuka kepada pemancing sejak 20 Feb lepas pada 9 pagi hingga 3.30 petang.

Katanya, pematuhan SOP ketat turut dikenakan dengan mengehadkan 90 orang di kawasan tasik pada satu masa dan dikenakan bayaran masuk RM35 seorang manakala ikan yang ditangkap melebihi 10 kg akan diserah kembali kepada pihak zoo.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619