EXCO

Sektor industri minta Selangor dapatkan bekalan vaksin

1 Mac 2021, 9:28 AM
Sektor industri minta Selangor dapatkan bekalan vaksin

SUBANG JAYA, 1 MAC: Kerajaan Selangor menerima permintaan beberapa syarikat industri untuk mendapatkan bekalan vaksin sebagai langkah melindungi pekerja mereka daripada jangkitan Covid-19.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata pihaknya akan memberi keutamaan kepada syarikat berkaitan yang memohon dan membayar vaksin tersebut.

"Syarikat industri ini minta kita dapatkan vaksin dan sanggup bayar kos tersebut supaya mereka boleh memberi suntikan segera terhadap pekerja.

"Bagaimanapun, pada peringkat awal ada kawalan daripada kerajaan pusat kerana dibimbangi bekalan tidak mencukupi," katanya selepas meninjau program Saringan Komuniti Covid-19 percuma di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Taman Puchong Indah semalam.

Ahli Dewan Negeri Seri Serdang berkata syarikat berkaitan juga menyatakan hasrat untuk menyertai program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS).

"Di Selangor, kita lihat ada kumpulan yang dipanggil sangat terdedah kepada jangkitan Covid-19 iaitu golongan pekerja. Jika berlaku jangkitan, ia boleh merebak dengan cepat.

"Pendekatan diambil syarikat terbabit bagi memastikan operasi kilang dapat diteruskan seperti biasa dan mampu menurunkan kadar kes di samping meneruskan usaha mencegah penularan wabak," katanya.

Sebanyak dua hingga lima juta dos vaksin Covid-19 yang dibeli Kerajaan Selangor dijangka diperoleh pada Mei atau Jun depan.

Selain mengurangkan beban kerajaan persekutuan, langkah itu bagi memastikan bekalan vaksin mencukupi untuk penduduk negeri ini sekali gus menjamin kesihatan rakyat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619