ADN

JPN disaran atasi isu tunggakan bil air PPR Lembah Subang 2

26 Feb 2021, 8:15 AM
JPN disaran atasi isu tunggakan bil air PPR Lembah Subang 2

PETALING JAYA, 26 FEB: Jabatan Perumahan Negara (JPN) digesa menyelesaikan isu tunggakan bil air Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2 di sini demi kebaikan penduduk.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia berkata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) tidak boleh dipersalahkan berikutan sudah menyerahkan lima notis peringatan kepada jabatan itu berhubung tunggakan bernilai lebih RM100,000.

"Pemakluman telah diberikan kepada JPN yang berada di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan namun tidak tahu di mana silapnya, bil berkenaan tidak dibayar sehingga mempunyai hutang lapuk.

"Bagaimanapun difahamkan, mereka sudah membuat bayaran bil terkini tetapi tunggakan itu masih belum selesai sepenuhnya," kata Halimey Abu Bakar kepada SelangorKini selepas program Jom Kembali ke Sekolah di sini hari ini.

Pada 24 Februari lalu, beliau menggesa JPN menyelesaikan tunggakan itu bagi membolehkan bekalan air disambung semula di PPR Lembah Subang 2 yang dikendalikannya.

Tunggakan berkenaan membabitkan meter pukal yang digunakan untuk kemudahan awam seperti surau dan dewan.

Mengulas lanjut, wakil rakyat Seri Setia memaklumkan JPN akan mengadakan pertemuan bersama Air Selangor dalam masa terdekat bagi menyelesaikan masalah berkaitan.

"Saya berharap ADN juga dapat terlibat dalam pertemuan itu memandangkan banyak masalah perlu diselesaikan membabitkan penduduk PPR Lembah Subang 2 antaranya isu lif sudah lama dikemukakan yang perlu diselesai segera," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619