AGENDA

Bekas pesakit barah digalak terima vaksin Covid-19

22 Feb 2021, 11:57 PM
Bekas pesakit barah digalak terima vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Tiada masalah bagi bekas pesakit kanser dan orang kurang upaya (OKU) menerima suntikan vaksin Covid-19, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim.

Beliau berkata selain itu, mereka yang pernah menerima suntikan Bacillus Calmette Gurrain (BCG) bagi mencegah penyakit Tibi juga tidak mempunyai masalah untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Pejuang kanser ini kalau rawatan sudah selesai, dengan syarat rawatan terakhir tiga hingga enam bulan sebelum (dapat vaksin), mereka tiada masalah untuk menerima vaksin. Begitu juga golongan OKU, tiada masalah.

“Memang kami menggalakkan mereka terima vaksin kerana mereka golongan berisiko tinggi, selain orang yang menghidap diabetes, darah tinggi, sakit jantung, buah pinggang dan penyakit kronik lain,” katanya menerusi program Ruang Bicara bertajuk ‘Vaksin Covid-19 Fasa Pertama’ terbitan Bernama TV malam tadi.

Bagaimanapun, beliau berkata bagi golongan yang sedang mengambil ubat untuk merendahkan paras imuniti seperti pesakit kanser, mereka tidak dinasihatkan untuk menerima vaksin buat masa ini sehingga tamat rawatan.

Sementara itu, Dr Hishamshah menjelaskan setakat ini, tiada data jelas yang mengesahkan sesiapa yang menerima suntikan BCG sebelum ini terlindung daripada dijangkiti wabak Covid-19.

“Walaupun ada teori mengatakan ada perlindungan, tetapi dari segi data yang tepat, tiada. Kalau ada perlindungan melalui BCG dan sebagainya, ia tidak akan melindungi kita daripada Covid-19. Buktinya, ramai antara kita ada vaksinasi BCG, tetapi ramai juga yang dapat Covid-19,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619