AGENDA

TNB pastikan bekalan elektrik pusat simpan vaksin stabil

20 Feb 2021, 5:45 AM
TNB pastikan bekalan elektrik pusat simpan vaksin stabil

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat persiapan awal bagi memastikan bekalan elektrik di pusat penyimpanan vaksin dan pusat pemberian vaksin Covid-19 seluruh negara, kekal stabil sepanjang pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB Datuk Ir. Baharin Din berkata, perbincangan bersama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah dan sedang diteruskan, bagi memperinci keperluan KKM terutama melibatkan usaha mengelakkan gangguan bekalan di lokasi penyimpanan vaksin.

“TNB akan memastikan sistem bekalan elektrik utama dan alternatif beroperasi dengan baik, di semua pusat penyimpanan dan pusat pemberian vaksin.

“TNB juga merangka pelan kontigensi pemulihan bekalan dengan pantas di beberapa pencawang yang dikenal pasti, melalui pemasangan sistem pengalihan bekalan secara automasi kawalan jauh antaranya ‘Normal Off Point’ (NOP), ‘Automated Transfer Scheme’ (ATS) dan ‘Remote Terminal Unit’ (RTU)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerja-kerja ‘penyelenggaraan berdasarkan keadaan’ (CBM) terhadap pencawang dan pembekal elektrik ke pusat penyimpanan vaksin telah dilaksanakan, bagi mengelakkan kegagalan pada sistem.

TNB juga melakukan sesi keterlibatan dengan pihak hospital dan klinik kesihatan, untuk memastikan set janakuasa mereka berfungsi dan bersedia untuk beroperasi sekiranya diperlukan.

Pasukan teknikal TNB akan berada dalam keadaan siap sedia, serta set-set janakuasa bergerak akan diletakkan di lokasi-lokasi strategik, bagi memastikan tindakan yang pantas dapat diambil sekiranya berlaku sebarang gangguan bekalan, di pusat-pusat penyimpanan vaksin.

Malaysia bakal menerima vaksin Pfizer-BioNTech bermula 21 Februari, disusuli pelaksanaan fasa pertama program imunisasi pada 26 Februari.

Bekalan elektrik yang stabil diperlukan kerana vaksin tersebut perlu disimpan pada suhu -70 darjah Celsius.

Baharin memaklumkan syarikat utiliti itu turut menyediakan dua saluran perhubungan khusus (talian khas), kepada pusat penyimpanan vaksin bagi membolehkan komunikasi pantas dengan TNB jika berlaku gangguan.

Dalam pada itu, Baharin memohon kerjasama kontraktor melakukan pengorekan berhampiran kabel bawah tanah TNB, untuk menghubungi syarikat utiliti itu sebelum memulakan kerja bagi mengelak kerosakan pada kabel, seterusnya menyebabkan gangguan bekalan terutama di pusat-pusat penyimpanan vaksin.

Orang ramai boleh melaporkan gangguan bekalan atau sekiranya menyedari sebarang kejanggalan pada pepasangan TNB, melalui talian TNB CareLine 15454.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619