AGENDA

Tarikh daftar, kemas kini BPR dilanjut hingga 25 Februari

14 Feb 2021, 8:52 AM
Tarikh daftar, kemas kini BPR dilanjut hingga 25 Februari

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Tarikh pendaftaran baharu dan kemas kini bagi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang sebelum ini dibuka dari 15 Jan-15 Feb, kini dilanjutkan sehingga 25 Feb, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata ia bagi memastikan BPR diterima oleh mereka yang layak serta mengambil kira Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di hampir seluruh negara ketika ini.

Hanya pemohon yang tidak pernah menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) 2020 atau Bantuan Prihatin Nasional (BPN) B40, serta isi rumah berpendapatan RM5,000 dan ke bawah sebulan perlu membuat permohonan baharu.

“Ini termasuk golongan mudah terjejas baharu yang layak memohon akibat perubahan status pendapatan mereka ekoran impak penularan Covid-19.

“Dengan adanya proses pendaftaran baharu/kemas kini ini, sebahagian daripada mereka yang tidak lulus dan belum menerima BPR masih berpeluang untuk mengemukakan permohonan untuk diverifikasi semula,” katanya.

Penerima BSH 2020 dan BPN B40 yang lulus sebelum ini tidak perlu membuat pendaftaran baharu atau kemas kini sekiranya tiada sebarang perubahan maklumat.

Tengku Zafrul berkata pembayaran Fasa 1 BPR akan dipercepatkan kepada penghujung Februari ini seperti yang diumumkan dalam Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) pada 18 Januari lepas, manakala bayaran Fasa 2 pula dijangka dibuat awal Mei.

Setakat ini, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerima hampir 550,000 permohonan baharu yang perlu diverifikasi dan disemak silang di dalam sistem dan proses itu turut melibatkan 25 agensi kerajaan termasuk Jabatan Pendaftaran Negara dan LHDN untuk memastikan hanya yang layak diluluskan untuk BPR.

Pemohon BPR boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) yang dimuat naik di portal rasmi BPR iaitu https://bpr.hasil.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619