AGENDA

Polis selesai tugas kawal PKPD maut dilanggar pemandu mabuk

13 Feb 2021, 2:17 PM
Polis selesai tugas kawal PKPD maut dilanggar pemandu mabuk

KLUANG, 13 FEB: Seorang anggota polis maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta dipandu seorang lelaki disyaki di bawah pengaruh alkohol di Kilometer 6 Jalan Kluang - Teck Wah Hing, lewat malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, DSP Abdul Razak Abdullah Sani berkata Lans Koperal Bradford Bernard, 28, terlibat dalam kemalangan itu selepas tamat bertugas di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Simpang Renggam.

Beliau berkata pihak polis menerima laporan pada pukul 10.25 malam menyatakan berlaku satu kemalangan membabitkan sebuah kereta dari arah Kluang dan sebuah motosikal dari arah Simpang Renggam.

Abdul Razak berkata pemandu kereta terbabit hilang kawalan ke atas kereta dipandunya dan bertembung dengan motosikal Bradford, mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal di tempat kejadian.

Katanya, mangsa dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang selepas selesai tugasan di Penjara Simpang Renggam.

"Mangsa yang sudah berkahwin meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di anggota badan.

Suspek yang berusia 58 tahun kini ditahan dan hasil saringan ujian nafas EBA II didapati positif alkohol serta melebihi had yang dibenarkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, siasatan mendapati pemandu kereta terbabit mempunyai rekod jenayah di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan kini direman selama empat hari untuk siasatan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 dan penjara maksimum 15 tahun serta hilang kelayakan lesen memandu melebihi 10 tahun jika sabit kesalahan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619