AGENDA

Gara-gara Tik Tok, suami disyaki belasah isteri hingga maut

10 Feb 2021, 3:16 PM

KUALA LUMPUR, 10 FEB: Gara-Gara video Tik Tok, seorang wanita warga Indonesia maut selepas disyaki ditumbuk dan ditampar suaminya di sebuah flat di Petaling Jaya di sini Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata dalam kejadian pada 10 malam itu, pasangan tersebut bergaduh selepas mangsa, yang merupakan isteri pertama suspek dan berusia 40 tahun, melihat suaminya bermain Tik Tok bersama isteri kedua lelaki itu.

“Ekoran itu, mangsa yang melihat rakaman video Tik Tok suaminya bersama isteri kedua terus memarahi suspek sebelum ditumbuk dan ditampar berkali-kali sehingga mangsa tidak bergerak serta ditinggalkan bersendirian (oleh suspek yang) menuju ke Klang.

“Polis kemudiannya menahan suspek pada 3.10 petang semalam di sebuah tapak pembinaan di kawasan Stadium Kuala Lumpur.

“Isteri kedua suspek turut ditahan di sebuah tapak pembinaan di Taman Klang Utama, Klang pada 6.20 petang semalam bagi membantu siasatan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek, yang merupakan pekerja kontrak warga Pakistan berusia 29 tahun, dan isteri keduanya seorang warga Indonesia berusia 45 tahun telah direman enam hari mulai hari ini dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya polis turut menemukan kesan lebam di tubuh mangsa namun punca kematian belum diketahui dan mayat wanita it telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619