AGENDA

KPDNHEP sentiasa pantau premis niaga, pastikan patuh SOP

10 Feb 2021, 6:31 AM
KPDNHEP sentiasa pantau premis niaga, pastikan patuh SOP

PUTRAJAYA, 10 FEB: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan terus memantau premis perniagaan yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memastikan para peniaga mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berharap kebenaran pembukaan semula aktiviti perniagaan terutamanya kebenaran dine-in tidak disalah guna dan semua premis perniagaan mematuhi sepenuhnya SOP dan peraturan yang ditetapkan.

Merakamkan terima kasih kepada kerajaan dan MKN atas persetujuan pembukaan semula 17 aktiviti sektor perdagangan pengedaran bermula hari ini, Nanta berkata pengumuman itu sangat dinanti-nantikan, bukan sahaja oleh pemain industri yang terbabit, malah pengguna juga telah lama menunggu pembukaan semula aktiviti tersebut.

"Saya yakin, seluruh pemain industri dan pengguna akan mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan sebagai tanda sokongan kepada kerajaan dalam memerangi wabak Covid-19 dan pada masa yang sama berganding bahu memulihkan ekonomi negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nanta berkata KPNHEP tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) terhadap pemilik perniagaan yang gagal mematuhi SOP.

Sehingga Ahad lepas (7 Februari), sebanyak 357,489 premis perniagaan telah diperiksa pematuhan SOP yang telah dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP di seluruh negara dan daripada jumlah tersebut sebanyak 112 premis perniagaan dikenakan kompaun di bawah Akta 342, katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan MKN bersetuju membenarkan baki keseluruhan perniagaan peruncitan beroperasi semula serta kebenaran makan di restoran dengan SOP yang ketat.

Ismail Sabri berkata keputusan itu bagi memastikan kelangsungan ekonomi perniagaan peruncitan iaitu antaranya kedai pakaian dan aksesori, aksesori kereta, kraf tangan, kedai permainan kanak-kanak dan kedai peralatan sukan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619