AGENDA

Perintah kuarantin menteri pulang dari lawatan rasmi dilonggar

8 Feb 2021, 11:57 PM
Perintah kuarantin menteri pulang dari lawatan rasmi dilonggar

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Jemaah Menteri yang pulang dari mana-mana lawatan rasmi luar negara dikecualikan daripada menjalani pemerhatian atau pengawasan selama 10 hari.

Perkara itu dinyatakan dalam warta kerajaan persekutuan terbaharu di bawah Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021 yang disiarkan di laman sesawang Jabatan Peguam Negara semalam.

“Tertakluk kepada perenggan 3, menteri mengecualikan Jemaah Menteri yang kembali dari mana-mana lawatan rasmi luar negara daripada pemakaian Seksyen 15 Akta.

“Jemaah Menteri yang kembali dari mana-mana lawatan rasmi luar negara hendaklah menjalani pemerhatian selama tiga hari atau menjalani pengawasan sehingga boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai,” menurut warta itu.

Warta itu yang ditandatangani Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, menyatakan peraturan itu berkuat kuasa mulai hari ini sehingga 1 Ogos ini.

Seksyen 15 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) memperuntukkan seseorang pegawai diberi kuasa boleh memerintahkan supaya mana-mana kontak menjalani pemerhatian di mana-mana tempat dan bagi apa-apa tempoh yang difikirkannya patut, atau menjalani pengawasan sehingga dia boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai.

Kerajaan sebelum ini memendekkan tempoh kuarantin di Malaysia ke atas tatacara pengurusan kuarantin wajib kepada pengembara yang pulang dari luar negara dan kontak rapat kepada kes yang disahkan positif Covid-19 daripada 14 kepada 10 hari.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619