AGENDA

Maqis: Tiga kontena daging dirampas di Puchong

7 Feb 2021, 4:19 AM
Maqis: Tiga kontena daging dirampas di Puchong

PUTRAJAYA, 7 FEB: Pihak berkuasa menyita tiga kontena daging, dipercayai diseludup, dalam serbuan ke atas sebuah gudang sejuk beku di Puchong, Selangor tiga hari lalu.

Menurut kenyataan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), serbuan pada 5 Feb itu dijalankan secara bersama polis dan pihak berkuasa lain.

"Hasil pemeriksaan dan maklumat awal yang dijalankan, sumber daging yang ditemukan itu bercampur aduk daripada abattoir (rumah sembelih) yang tidak diluluskan oleh kerajaan," demikian menurut kenyataan itu.

Menurut Maqis, siasatan dijalankan menurut Seksyen 11 dan Seksyen 15 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

“Perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit, lesen atau perakuan adalah satu kesalahan di bawah seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya menurut Seksyen 11(3) akta sama,” kata Maqis.

Jabatan itu turut memberi jaminan akan sentiasa memperkemas kerjasama strategik dengan agensi lain bagi memastikan kawalan import komoditi pertanian, khususnya daging, dapat diperkukuhkan lagi.

Maqis komited dalam memastikan isu melibatkan aspek halal, keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak berbahaya yang boleh mengancam industri pertanian dan penternakan negara dapat dibendung serta dikawal, demikian menurut kenyataan itu.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619