AGENDA

Pasangan pengantin, 17 rakan ditahan, dikompaun langgar PKP

6 Feb 2021, 12:23 AM
Pasangan pengantin, 17 rakan ditahan, dikompaun langgar PKP

LANGKAWI, 6 FEB: Asyik merakam gambar kenangan secara berkumpulan berhampiran sebatang sungai, 19 individu termasuk satu pasangan pengantin ditahan polis dan dikenakan kompaun, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Shariman Ashari berkata anggotanya yang membuat rondaan bagi memastikan tatcara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dipatuhi di sekitar kawasan perumahan di Ayer Hangat, telah mengesan kehadiran kumpulan berpakaian sedondon itu, kira-kira 6.30 petang.

"Semasa rondaan, anggota polis ternampak kumpulan tersebut yang terdiri daripada sepasang pengantin dan 17 individu termasuk pengiring pengantin (seorang lelaki, 16 perempuan) berada berhampiran sungai dan mengambil gambar beramai-ramai. Hasil siasatan mendapat mereka tinggal di kawasan perumahan tersebut serta ada yang datang daripada beberapa lokasi lain sekitar pulau ini," katanya semalam.

Shariman berkata anggotanya kemudian menahan mereka kerana berkumpul dan tidak mempunyai asas yang kukuh untuk keluar rumah.

Katanya, mereka yang berusia antara 17 hingga 28 tahun itu telah dibawa ke Balai Polis Kuah untuk proses dokumentasi dan masing-masing dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang sebelum dibebaskan.

Pada 28 Jan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) dalam satu kenyataan memaklumkan perkhidmatan nikah, cerai serta rujuk dibenarkan seperti biasa mengikut SOP ditetapkan mulai Isnin (1 Feb) dan majlis akad nikah hanya akan dilaksanakan di Pejabat Agama Islam Daerah.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619