AGENSI

Cadangan tambah subjek elektif dalam eptrs.my akan dibincang

5 Feb 2021, 10:08 AM
Cadangan tambah subjek elektif dalam eptrs.my akan dibincang

BANTING, 5 FEB: Cadangan memuatkan mata pelajaran elektif dalam portal Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) akan dibawa ke perhatian Kerajaan Negeri.

Jurucakap PTRS berkata usul itu perlu dibincangkan terlebih dahulu dengan pihak berkaitan berikutan pelaksanaannya membabitkan peruntukan tambahan.

"Kalau boleh kita mahu semua mata pelajaran disediakan, tetapi bergantung pada bajet kerana apa yang ada sudah memadai untuk menjentik hati anak-anak belajar bagi memperoleh kejayaan.

"Malah, kita mahu pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) mempunyai bilangan kredit yang cukup untuk melangkah ke fasa pengajian seterusnya," katanya kepada Media Selangor.

Terdahulu, subjek tambahan dicadangkan meliputi matematik tambahan, fizik, kimia, biologi dan sains komputer untuk SPM selain ekonomi serta pengurusan perniagaan untuk STPM.

Jurucakap itu menjelaskan penambahan subjek melalui portal pendidikan itu sebagai salah satu pendekatan meningkatkan jumlah penyertaan pelajar terutama calon peperiksaan utama di negeri ini.

Beliau juga percaya hasrat itu akan dipenuhi berpandukan kepada komitmen Kerajaan Selangor yang mendahului negeri lain dalam menyediakan sistem sokongan pendidikan untuk pelajar pada era pandemik Covid-19.

"Program tuisyen ini melalui transformasi kerana sekarang sudah ada modul dan menapak satu langkah lagi dengan wujudnya eptrs.my.

"Sudah tentu usaha sebegini menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap keperluan pendidikan pelajar," katanya.

Portal tersebut antara inisiatif disediakan Kerajaan Negeri menerusi Pakej Kita Selangor dibentang pada 20 Januari bagi membantu calon peperiksaan SPM dan STPM.

Platform itu memuatkan pembelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Sejarah untuk SPM manakala Pengajian Am dan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (Muet) untuk STPM.

Pada Mac tahun lalu, Kerajaan Negeri melaksana program e-pembelajaran, Selangor Tutor sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang mendapat sambutan menggalakkan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619