AGENDA

Dua geng dadah berparang rebut kawasan ditahan, beberapa lagi diburu

1 Feb 2021, 7:19 AM
Dua geng dadah berparang rebut kawasan ditahan, beberapa lagi diburu

KUALA LUMPUR, 1 FEB: Polis menahan 14 individu sehingga tengah hari ini yang disyaki terlibat dalam kes pergaduhan bersenjatakan parang melibatkan anggota Geng 08 Sungai Besi Indah dan Geng 36 Bukit Belimbing di Taman Juara Jaya, Batu 9 Cheras pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata pihaknya bersama JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan JSJ IPD Serdang secara bersepadu menjalankan Ops Cantas bagi mengesan saki baki suspek.

"Motif kejadian adalah perebutan kawasan jualan dadah antara Geng 08 Sungai Besi Indah dari Serdang dan Geng 36 Bukit Belimbing dari Kajang.

"Menurut beliau geng dari Serdang itu diketuai lelaki tempatan dengan panggilan Sara 08 Sungai Besi Indah dengan orang kanannya dikenali sebagai Rajie 5000, manakala geng dari Kajang diketuai seorang lelaki tempatan dengan panggilan Tan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihak JSJ Selangor mengenal pasti beberapa lagi individu yang boleh membantu siasatan berkaitan kes ini.

Sementara itu, kejadian pergaduhan itu turut tular menerusi video yang memaparkan sekumpulan lelaki bersenjatakan parang mencederakan sekumpulan lelaki yang lain.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata polis menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pergaduhan sekumpulan lelaki pada 6.37 petang dan menahan empat suspek.

"Sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kes, boleh berhubung mana-mana balai berdekatan atau Pegawai Penyiasat ASP Mohd Radzee Jamudi di talian 019-6655811," katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dengan senjata serta Seksyen 148 kanun sama kerana memiliki senjata dan merusuh.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619