AGENDA

Ancaman laman web digodam, agensi kerajaan diberi notis amaran - MKN

26 Jan 2021, 12:15 PM
Ancaman laman web digodam, agensi kerajaan diberi notis amaran - MKN

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) mengeluarkan satu notis amaran kepada semua agensi kerajaan untuk mengambil langkah-langkah perlu bagi mencegah dan meminimumkan impak ancaman serangan siber.

MKN dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan tindakan serius itu diambil berikutan ancaman untuk menggodam laman web kerajaan menerusi penularan satu video di media sosial dikeluarkan ‘ Anonymous Malaysia' di platform media sosial baru-baru ini.

Menurut MKN, NACSA juga sedang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengkoordinasi dan mengambil tindakan sewajarnya.

"Kerajaan amat mengambil berat dan memberi keutamaan terhadap keselamatan infrastruktur teknologi maklumat kerajaan serta sistem kritikal negara dengan menggariskan tindakan pengukuhan sistem teknologi maklumat, termasuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pegawai berkaitan,“ menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut tindakan itu jelas digariskan menerusi Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) yang dilancarkan pada Oktober 2020.

Antara dakwaan 'Anonymous Malaysia' dalam video berdurasi 55 saat itu ialah sistem sekuriti Malaysia berada pada tahap rendah dan boleh menyebabkan para penggodam menjual segala maklumat yang bocor, selain lebih 46 juta data pengguna syarikat telekomunikasi telah digodam sehingga hari ini.

Sementara itu, CyberSecurity Malaysia, sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, dalam satu kenyataan, memaklumkan pautan https://www.mycert.org.my/portal/advisory?id=MA-798.122020 boleh dirujuk bagi mengetahui amalan terbaik mengelak daripada menjadi mangsa pencerobohan dan penggodaman.

Antara cadangan menerusi pautan itu termasuk memastikan perisian antivirus sentiasa dikemas kini dan kerap melakukan salinan sandar terhadap semua maklumat kritikal.

Semua organisasi juga dicadang untuk sentiasa membuat penilaian kelemahan dan ujian penembusan terhadap sistem masing-masing, selain melaporkan insiden sekuriti kepada pihak berwajib supaya tindakan pemulihan dapat dilakukan secepat mungkin.

Selain itu, orang ramai juga boleh melaporkan insiden keselamatan siber ke Cyber999 menerusi saluran e-mel kepada cyber999@cybersecurity.my; hubungi Cyber999 di talian 1-300-88-2999 (waktu pejabat) atau +60 19 2665850; faks kepada +603 8008 7000 (waktu pejabat); atau melapor aduan melalui pesanan ringkas (SMS) ke 15888.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619