AGENDA

Contohi peladang Kuala Langat pasar hasil tani tanpa orang tengah - menteri

26 Jan 2021, 8:39 AM
Contohi peladang Kuala Langat pasar hasil tani tanpa orang tengah - menteri

KUALA LANGAT, 26 JAN: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh negara diseru mencontohi PPK Kuala Langat yang mampu menjana keuntungan melalui pemasaran hasil pertanian tanpa penglibatan orang tengah.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata ini kerana PPK Kuala Langat melalui Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian (PPHP) di Telok Penglima Garang menjadi lokasi mengumpul hasil pertanian di sekitar kawasan tersebut sebelum dihantar ke pasar raya dan pasar borong di Selangor dan Kuala Lumpur.

"Aktiviti pemasaran melalui PPHP seperti ini mampu menjana pendapatan yang tinggi dan wajar dicontohi oleh PPK lain.

"Pengumpulan dan pemasaran hasil pertanian melalui PPHP ini juga mampu mengurangkan pengaruh orang tengah di samping meningkatkan hasil pendapatan petani.

“Kementerian berharap lebih banyak PPK berperanan aktif dalam industri makanan negara sehingga mampu mempunyai kewangan yang kukuh," katanya selepas melakukan lawatan kerja di PPHP PPK Kuala Langat hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai kenaikan harga makanan, Kiandee berkata ia melibatkan makanan dan sayuran yang diimport kerana harganya tertakluk kepada pasaran dunia.

"Seperti contoh, jagung yang diimport untuk dijadikan makanan haiwan. Harganya sedang meningkat sekarang, jadi ia turut akan memberi kesan kepada industri penternakan ayam dan lembu.

"Bagaimanapun, kenaikan ini masih terkawal dan kementerian saya bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sedang memantau perkara ini," katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619