AGENDA

Mangsa banjir di Sabah menurun sedikit, Sarawak kekal

19 Jan 2021, 10:50 AM
Mangsa banjir di Sabah menurun sedikit, Sarawak kekal

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Mangsa banjir di Sabah akhirnya menunjukkan sedikit penurunan, manakala jumlah mangsa di Sarawak kekal dan di Pahang pula, beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup selepas jumlah mangsa dilaporkan semakin berkurangan petang ini.

Di Sabah, jumlah mangsa menurun kepada 890 orang daripada 257 keluarga petang ini berbanding 895 orang daripada 258 keluarga pagi tadi.

Menurut Sektretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, dua PPS ditutup iaitu Dewan Serbaguna PPR Keramat Ketiau, Putatan dan Rumah Kelab Kompleks Sukan, Penampang.

Kota Belud masih merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 347 orang daripada 109, dengan satu lagi PPS dibuka di Dewan Sekolah Kebangsaan Punggor, menjadikan sebanyak lima PPS beroperasi di daerah itu bagi menempatkan penduduk terjejas banjir.

Sementara itu, seramai 159 orang daripada 55 keluarga ditempatkan di dua PPS di Beaufort; Tuaran (119 orang daripada 25 keluarga); Kota Kinabalu (101 orang daripada 18 keluarga); Tenom (75 orang daripada 18 keluarga); Paitan (48 orang daripada 14 keluarga); dan Papar (41 orang daripada 18 keluarga).

Menurut kenyataan itu, proses pemindahan mangsa banjir ke PPS berdekatan masih diteruskan berikutan paras air meningkat di beberapa daerah, selain hujan masih turun di Kota Belud dan Beaufort dengan amaran cuaca buruk dan waspada di khususnya di kawasan Pantai Barat dan pedalaman.

Secara keseluruhannya, sebanyak lapan daerah dilanda banjir di Sabah melibatkan 211 kampung termasuk di Kinabatangan, namun, belum ada sebarang PPS dibuka di daerah itu.

Jumlah mangsa banjir yang berada di satu-satunya PPS yang masih beroperasi di Sarawak iaitu di Sekolah Kebangsaan Tanah Puteh di Daerah Serian kekal pada 325 orang sehingga petang ini.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Mej (PA) Ismail Mahedin berkata fenomena “air termenung” atau air banjir yang bertakung disebabkan aliran air yang tidak dapat keluar tidak memungkinkan PPS itu ditutup dalam masa terdekat.

Di Pahang, banjir di Maran pulih apabila dua PPS terakhir di daerah itu, iaitu Balai Raya Kampung Baru Pertanian dan Surau Kampung Paya Pasir ditutup tengah hari ini.

Perkembangan itu menjadikan hanya dua daerah masih terjejas banjir iaitu Pekan dan Kuantan petang ini, dan menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hanya 509 orang masih berada di PPS.

Kuantan merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 380 orang daripada 90 keluarga di dua PPS manakala mangsa di Pekan seramai 129 orang daripada 39 keluarga di dua PPS.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619