AGENDA

Banjir: Pahang, Johor dan Sabah kian pulih, mangsa di Sarawak naik

15 Jan 2021, 9:34 AM
Banjir: Pahang, Johor dan Sabah kian pulih, mangsa di Sarawak naik

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Situasi banjir di Pahang, Johor dan Sabah kian pulih dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurangan, namun di Sarawak mangsa banjir dilaporkan terus meningkat pada petang ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam laporan terbaharunya berkata sebanyak 50 PPS masih beroperasi di enam daerah yang dilanda banjir sejak Rabu lepas.

Seramai 121 lagi mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan di negeri itu setakat 4 petang ini, menjadikan jumlah keseluruhan penduduk yang ditempatkan di pusat berkenaan meningkat kepada 4,343 orang.

Daerah Kuching mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 2,238 orang di 21 PPS, diikuti Serian (1,015 orang di 10 PPS), Bau (747 orang di 31 PPS), Samarahan (211 orang di lima PPS), Simunjan (103 orang di dua PPS) dan Miri (29 orang di dua PPS).

Di PAHANG, keadaan banjir di Lipis dan Jerantut pulih sepenuhnya apabila tiga pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di daerah itu ditutup, tengah hari tadi.

Perkembangan itu menjadikan jumlah mangsa banjir di Pahang petang ini ialah seramai 7,012 orang daripada 1,923 keluarga yang masih berada di 92 PPS dengan Pekan mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi iaitu 3,306 orang, diikuti Maran (1,703 orang), Kuantan (877 orang), Temerloh (784 orang) dan Bera (342 orang).

Di JOHOR pula jumlah mangsa banjir hanya tinggal 93 orang melibatkan 23 keluarga, berada di dua PPS di Segamat dan Batu Pahat setakat 3.30 petang ini, berbanding 784 orang melibatkan 245 keluarga, di 10 PPS di lima daerah, pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R.Vidyananthan berkata cuaca yang cerah sejak pagi membolehkan rata-rata mangsa banjir pulang ke rumah secara berperingkat sehingga 3 petang tadi.

Sementara itu, situasi sama turut berlaku di Sabah apabila jumlah mangsa banjir di negeri itu berkurangan dengan mendadak kepada 313 orang daripada 84 keluarga berbanding 761 orang daripada 198 keluarga, pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah menerusi kenyataan memberitahu semua mangsa banjir ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah negeri ini iaitu Pitas, Beaufort, Lahad Datu dan Paitan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619