AGENDA

Tengku Razaleigh positif Covid-19, keadaan stabil

14 Jan 2021, 2:15 PM
Tengku Razaleigh positif Covid-19, keadaan stabil

GUA MUSANG, 14 JAN: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah disahkan positif Covid-19 dan kini menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Kuala Lumpur.

Beliau menerima keputusan ujian saringan Covid-19 malam tadi dan terus dikejarkan ke PPUM untuk mendapatkan rawatan dan keadaannya kini dilaporkan stabil.

Ketika mengesahkan perkara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, Tengku Razaleigh melakukan ujian saringan pada Selasa lalu.

"Apabila keputusan positif diterimanya malam tadi, Tengku Razaleigh terus dibawa ke PPUM untuk menerima rawatan," katanya ketika dihubungi di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai, petang tadi.

Mohd Syahbuddin berkata Tengku Razaleigh merupakan kontak rapat dengannya dan ADUN Nenggiri, Ab Aziz Yusoff, yang kedua-duanya disahkan positif Covid-19 sebelum ini.

Semalam, Pegawai Peribadi Tengku Razaleigh, Mohd Lokman Abdul Ghani juga disahkan positif Covid-19 dan kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Pada 11 Januari lalu, Mohd Syahbuddin bersama Ab Aziz disahkan positif Covid-19 dan dikejarkan ke HSIP Kuala Krai untuk menerima rawatan.

"Alhamdulillah, kesihatan saya bersama Ab Aziz bertambah baik dan terima kasih atas doa rakyat Gua Musang mohon (kami) cepat sembuh," kata Mohd Syahbuddin.

Selain itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang, Mohd Asmawi Fikri Ab Ghani dan Timbalan Ketua Wanita UMNO bahagian, Ruhaida Abdul Hamid juga turut disahkan positif Covid-19.

Mereka juga menerima rawatan di HSIP Kuala Krai dan keadaan dilaporkan stabil.

Berikutan itu, Jabatan Kesihatan Kelantan telah membuka kaunter ujian saringan di Dewan Pusat Sivik Gua Musang pada Selasa lalu bagi mereka yang mempunyai kontak rapat dengan pemimpin-pemimpin terbabit.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619