AGENDA

MyIPO belum lulus cap dagang jenama 'Harimau Menangis'

14 Jan 2021, 12:15 AM
MyIPO belum lulus cap dagang jenama 'Harimau Menangis'

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Permohonan cap dagang bagi jenama 'Harimau Menangis' oleh Syarikat Noor Khan Enterprise masih di peringkat pemeriksaan, kata Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Datuk Mohd Roslan Mahayudin.

Justeru, beliau berkata jenama yang dimohon pemilik syarikat itu, Noor Kartini Noor Mohamed belum diluluskan MyIPO dan menjadi hak eksklusif beliau.

Mohd Roslan memaklumkan pemohonan Noor Kartini bagi mendaftarkan jenama itu diterima MyIPO pada November tahun lepas dan kelulusannya bergantung kepada hasil pemeriksaan serta pertimbangan agensi tersebut.

"Sehubungan itu, Noor Kartini diminta untuk tidak mendahului keputusan MyIPO dengan mendakwa jenama 'Harimau Menangis' telah didaftarkan sebagai cap dagangan dan menjadi hak eksklusif beliau.

"MyIPO akan memproses permohonan beliau seperti biasa iaitu sebarang keputusan yang dibuat adalah berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada," menurutnya dalam kenyataan semalam.

Sejak semalam, tular di media sosial usahawan itu mendakwa jenama ‘Harimau Menangis' bagi produk keluarannya telah didaftarkan dan beliau mempunyai hak eksklusif ke atas cap dagangan nama tersebut.

Dakwaan usahawan itu, yang merupakan ibu selebriti Neelofa, mendapat perhatian warganet yang rata-rata menyifatkan tindakan tersebut sebagai keterlaluan memandangkan sudah ramai menggunakan nama resepi masakan berasaskan daging 'Harimau Menangis' dalam produk mereka.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619