AGENDA

Taska daftar bawah JKM dibenar operasi, patuhi SOP - KPWKM

13 Jan 2021, 7:32 AM
Taska daftar bawah JKM dibenar operasi, patuhi SOP - KPWKM

PUTRAJAYA, 13 JAN: Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dibenarkan beroperasi dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memaklumkan kebenaran beroperasi taska tersebut adalah selaras dengan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Bagaimanapun, kebenaran beroperasi ini adalah terbatal sekiranya terdapat arahan terkini daripada pihak berkuasa," menurut KPWKM dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lepas mengumumkan PKP dilaksanakan di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah bermula hari ini hingga 26 Jan.

PKPB pula dilaksanakan di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan manakala Perlis dan Sarawak berada di bawah PKPP bagi tempoh sama.

KPWKM memberitahu setiap taska diwajibkan mematuhi Garis Panduan Pencegahan Penularan Covid-19 yang diterbitkan KPWKM serta diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Semua pengusaha taska diminta memaklumkan kepada JKM mengenai rancangan beroperasi," menurut kenyataan itu.

KPWKM memaklumkan pengusaha taska di premis kerajaan sama ada kerajaan Persekutuan atau negeri harus memohon kebenaran daripada kementerian atau agensi berkaitan terlebih dahulu.

"KPWKM juga akan mempertingkatkan pemantauan terhadap semua taska berdaftar yang beroperasi semasa PKP bagi memastikan setiap tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan MKN dan Kementerian Kesihatan (KKM) dipatuhi," menurut kenyataan itu lagi.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619