AGENDA

KKM saran pergerakan rentas daerah, negeri diperketat jika Covid-19 meningkat

9 Jan 2021, 7:28 AM
KKM saran pergerakan rentas daerah, negeri diperketat jika Covid-19 meningkat

JOHOR BAHRU, 9 JAN: Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memperketat kawalan pergerakan rentas daerah dan negeri, sekiranya kes Covid-19 dalam negara terus meningkat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata langkah itu perlu berikutan peningkatan kes Covid-19 akhir-akhir ini dipercayai berpunca daripada kebenaran merentas daerah dan negeri sejak Disember lepas.

Selain itu, beliau berkata peningkatan kes turut disebabkan tindakan aktif untuk melaksanakan ujian saringan kesihatan ke atas semua pekerja asing di sektor perkilangan dan pembinaan bermula Januari.

“Sejak 1 Januari lepas, kerajaan telah mewajibkan majikan di sektor industri dan pembinaan membuat saringan kepada warga asing. Jadi, apabila banyak ujian dibuat maksudnya kita akan mendapat banyak kes positif tetapi kita tidak sangka peningkatan kes yang mendadak ini berlaku begitu pantas.

“Ia terjadi kerana kita dapati ada unsur ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan semasa pembukaan semula sektor ekonomi,” katanya dalam sidang media sempena Majlis Penyerahan Projek Naik Taraf Pusat Pengumpulan Darah Fasa Dua di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini hari ini.

Ahli Parlimen Tenggara itu berkata kes positif Covid-19 yang direkodkan ketika ini membabitkan kes sporadik (kes berlaku dalam komuniti) dan kes bukan warganegara.

“Nisbah peratusan antara kedua-dua kes ini adalah 50-50. Kes sporadik dijangkiti melalui pergerakan rentas negeri dan juga kerana tindakan berkumpul atau berhimpun di sesuatu tempat,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media memberitahu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuat pengumuman khas pada Isnin mengenai tindakan bakal dilaksanakan kerajaan berhubung situasi semasa jangkitan Covid-19 yang menunjukkan trend peningkatan akhir-akhir ini.

Ismail berkata kerajaan juga sedang memperhalusi dan menilai tindakan yang perlu diambil segera bagi mengawal penularan jangkitan Covid-19 termasuk mempertimbangkan SOP lebih ketat melibatkan sektor sosial bagi mengurangkan pergerakan dan risiko penularan Covid-19.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619