AGENDA

Agong tinjau situasi banjir, lawat mangsa guna helikopter

7 Jan 2021, 5:42 AM
Agong tinjau situasi banjir, lawat mangsa guna helikopter

KUANTAN, 7 JAN: Keprihatinan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap mangsa banjir di Pahang terus terserlah apabila Seri Paduka Baginda hari ini, meninjau keadaan banjir di negeri ini menggunakan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Istana Negara dalam kenyataannya memaklumkan Seri Paduka Baginda yang menaiki pesawat EC725 berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Kuantan, pada jam 9 pagi dengan diiringi Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

"Al-Sultan Abdullah dijadualkan mendarat di Kuala Lipis untuk menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Clifford dan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa.

"Selepas di Lipis, Yang di-Pertuan Agong akan ke Mentakab dan Temerloh juga bagi menyantuni mangsa banjir di di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Mentakab serta PPS Dewan Majlis Perbandaran Temerloh," menurut kenyataan itu di sini, hari ini.

Al-Sultan Abdullah berangkat pulang dari Istana Negara pada Selasa lalu, bagi meninjau keadaan banjir Pahang dengan memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda meredah banjir di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1).

Daerah Maran yang teruk terjejas akibat banjir, menjadi lokasi pertama Al-Sultan Abdullah mencemar duli melawat mangsa banjir dengan diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebelum berangkat ke Kuantan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619