AGENDA

Zahid sokong Anwar jatuhkan PN

6 Jan 2021, 11:21 AM
Zahid sokong Anwar jatuhkan PN

SHAH ALAM, 6 JAN:  Sehari selepas dipecat, bekas setiausaha agung Barisan Nasional (BN) mendedahkan Presiden Umno menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Tan Sri Annuar Musa mendakwa Datuk Seri Zahid Hamidi memberi sokongan bertulis kepada presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dalam usaha menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Saya mengesahkan wujudnya sokongan secara hitam putih oleh presiden Umno kepada Anwar untuk menjatuhkan PN yang dianggotai BN.

"Akuan itu dialamatkan kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur pada 6 Januari seperti dilaporkan media.

Dalam soal kerjasama Umno dengan PAS, Annuar juga mendedahkan Umno tidak berminat mendaftar kerjasama dua parti itu Muafakat Nasional walau parti Islam mengusulkannya.

PAS ingin mengekalkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PN tetapi pemimpin kanan Umno pula tidak berpuas hati dengan gabungan longgar tersebut.

Annuar juga mendakwa hanya 99 daripada 189 bahagian Umno menolak kerjasama dengan Bersatu dalam mesyuarat mereka, bukan 143 seperti dinyatakan Zahid sebelum ini. Dua lagi bahagian tidak bermesyuarat, tambahnya.

Sementara itu, Datuk Seri Ahmad Maslan yang dilantik setiausaha agung baharu BN dilaporkan menyatakan Umno tidak berpuas dengan PN antaranya kerana kes mahkamah terhadap pemimpin mereka.

Umno dan Bersatu mengadakan mesyuarat penting pada 6 Februari, antaranya dijangka membincangkan perkembangan kerjasama dua parti itu dalam kerajaan PN.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619