AGENDA

Banjir belum surut, peniaga nasi campur hilang punca rezeki

6 Jan 2021, 3:59 AM
Banjir belum surut, peniaga nasi campur hilang punca rezeki

KOTA TINGGI, 6 JAN: Peniaga nasi campur, Zaiton Johari bingung mengenangkan punca pendapatan keluarganya yang berkurangan bulan ini selepas cuaca tidak menentu sejak Sabtu lepas.

Tambahan pula, dia masih terkandas di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Laksamana di sini, menyukarkannya untuk berniaga di sebuah kedai di Ladang Kelapa Sawit REM, kira-kira lima kilometer dari pusat bandar.

Ibu kepada tiga orang anak itu berkata dia dipindahkan ke PPS berkenaan pada petang Sabtu, selepas rumah teres dua tingkat didiami di Taman Aman dan Mawai, di sini, dinaiki air setinggi paras pinggang ekoran hujan lebat berterusan.

Sejak perpindahan itu, Zaiton, 55, berkata dia sudah empat hari tidak dapat berniaga nasi campur di ladang itu bersama suaminya, Zulkefli Che Hanafi, 50, dan banjir yang belum menunjukkan tanda-tanda pulih agak merisaukan mereka.

“Saya sudah berniaga di ladang itu sejak tiga tahun lepas dengan kebanyakan pelanggan terdiri daripada pekerja ladang. Daripada perniagaan ini, bolehlah saya dan suami mendapat purata pendapatan bersih bulanan keluarga kira-kira RM1,000 selepas ditolak kos perniagaan,” katanya ketika ditemui Bernama di pusat pemindahan itu.

Menurut Zaiton, dua hari lepas, ada sebahagian pelanggan tetapnya dan pihak pengurusan ladang menghubungi dirinya dan suami, bertanyakan bila mereka akan berniaga semula, namun memaklumkan, mereka tidak boleh berbuat demikian buat sementara waktu.

“Saya beritahu sekarang ini memang tidak boleh lagi kerana masih terkandas di pusat pemindahan, mujur selepas diberi penerangan, mereka memahami,” katanya yang menyewa tapak kedai di ladang sawit itu dengan kadar RM50 sebulan.

Mengulas lanjut, Zaiton berkata dia sudah lali dengan banjir di kawasan perumahan itu kerana mengalaminya setiap tahun sejak tinggal di situ 20 tahun lepas.

“Setiap kali banjir, setiap kali itu jugalah rumah kami dinaiki air. Tempoh hari, selepas dilanda banjir, saya dan suami serta anak-anak telah bergilir-gilir pulang seketika untuk membersihkan rumah namun, tidak lama selepas itu, banjir datang kembali.

“Jadi sekarang, kami biarkan dahulu rumah, selepas banjir berakhir barulah kami bersihkan semula,” katanya dengan menambah ketika banjir Sabtu lepas, dia dan suami tidak berada di rumah kerana ada urusan lain dan seorang anaknya memaklumkan bencana berkenaan kepadanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619