AGENDA

Empat individu termasuk pengarah dua syarikat import daging beku direman

4 Jan 2021, 6:24 AM
Empat individu termasuk pengarah dua syarikat import daging beku direman

JOHOR BAHRU, 4 JAN: Empat individu termasuk pengarah dua syarikat pengimport daging sejuk beku, dikenakan perintah reman selama empat hari oleh Mahkamah Majistret hari ini, dipercayai terlibat dalam kegiatan rasuah penyeludupan daging sejuk beku, awal bulan lepas.

Perintah reman sehingga 7 Jan itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Johor Baharu Nur Izzaty Muhammad, yang membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Dua lelaki dan seorang wanita yang ditahan merupakan pengarah, pengarah urusan dan kerani dari sebuah syarikat yang diwakili peguam Wan Muhd Ariff Ameer Wan Normazlan manakala seorang lagi lelaki merupakan pengarah syarikat lain yang diwakili peguam Yap Che Kai.

Kesemua mereka yang berusia antara 39 dan 50 tahun ditahan di pejabat SPRM Johor malam tadi bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Kesemua mereka yang berpakaian baju lokap SPRM berwarna oren tiba di pekarangan mahkamah kira-kira 9 pagi diiringi pegawai SPRM dengan menaiki kenderaan SPRM.

Terdahulu, SPRM menerusi kenyataan memaklumkan sudah mengenal pasti pengimport daging sejuk beku yang dipercayai terbabit dengan rasuah dalam aktiviti penyeludupan bahan mentah sejuk beku yang dilarang dibawa masuk ke negara ini.

SPRM mendapat kerjasama beberapa agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619