AGENDA

Banjir Johor jejas lima daerah, mangsa meningkat 1,780 orang

2 Jan 2021, 2:17 PM
Banjir Johor jejas lima daerah, mangsa meningkat 1,780 orang

JOHOR BAHRU, 2 JAN: Banjir di Johor kini melibatkan lima daerah dengan jumlah mereka yang terjejas meningkat kepada 1,780 mangsa setakat 8 malam berbanding 1,000 orang pada 4 petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R.Vidyananthan berkata Batu Pahat menyusuli Johor Bahru, Kulai, Kluang dan Kota Tinggi dilanda bencana itu.

Menurut beliau, 14 lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka menjadikan keseluruhan 28 PPS beroperasi setakat 8 malam iaitu 12 di Kluang, Kota Tinggi (7), Johor Bahru (6), Kulai (2) dan satu di Batu Pahat.

“Di Kluang, jumlah mangsa terus meningkat iaitu seramai 698 mangsa daripada 206 keluarga melibatkan Kampung Yap Tau Sah, Kampung Kola Air, Kampung Haji Noh, Kampung MD Amin, Kampung Org Asli Tanah Runtuh.

“Sementara Johor Bahru merekodkan 690 mangsa daripada 186 keluarga melibatkan antaranya penduduk di Kampung Laut Batu 10 Skudai, Kampung Sentosa Barat, Kampung Sentosa Damai, Lorong Aris Batu 8 Skudai serta Rumah Orang Tua Sam Poh,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Vidyananthan berkata di Kota Tinggi, seramai 286 mangsa daripada 66 keluarga dipindahkan, melibatkan penduduk Kampung Bukit Raja, Kampung Sri Delima, Kampung Sri Jaya, Kampung Muhibbah, Kampung Sedili Kecil dan Kampung Lepau.

Sementara itu di Batu Pahat, tujuh mangsa daripada empat keluarga melibatkan penduduk di Kampung Sungai Sedi Yong Peng, manakala Kulai melibatkan 99 mangsa daripada 25 keluarga dari Kampung Sungai Siam dan Kampung Jaya Sepakat.

Selain itu, satu kes kematian akibat lemas dilaporkan di Kampung Contoh dekat Kluang, manakala laluan FT092 Jalan Pengerang-Kota Tinggi ditutup sementara selepas ditenggelami air, katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619