AGENDA

Ringgit dijangka uji paras 4.0 berbanding dolar AS minggu depan

2 Jan 2021, 3:45 AM
Ringgit dijangka uji paras 4.0 berbanding dolar AS minggu depan

KUALA LUMPUR, 2 JAN: Ringgit dijangka diniagakan mengukuh berbanding dolar AS minggu depan, didorong oleh sentimen positif membabitkan vaksin Covid-19 selain peningkatan prestasi harga minyak mentah, kata penganalisis.

Ketua Strategis Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata jangkaan peningkatan komoditi pada tahun baharu ini, terutamanya kenaikan harga minyak mentah, akan memberi dorongan berganda untuk ringgit.

“Ringgit misalnya menjadi mata wang yang telah dinilai lebih rendah bagi kebanyakan tempoh 2020. Namun, kaitan kukuhnya dengan pasaran komoditi kini menjadikan mata wang itu lebih di hadapan.

“Malah, ini membolehkan ringgit untuk menguji paras psikologi 4.0 berbanding dolar AS seawal minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Sepanjang minggu ini, ringgit terus meningkat berbanding dolar AS yang merupakan pengukuhan untuk 10 minggu berturut-turut ketika pasaran tempatan bergerak seiringan dengan prestasi positif harga minyak.

Peningkatan minat terhadap risiko turut memacu peningkatan mata wang Asia sehinggakan ada di antaranya mencecah paras tertinggi sejak beberapa minggu lepas.

Pasaran tempatan ditutup pada Jumaat sempena cuti umum Tahun Baharu 2021 dan akan kembali beroperasi pada 4 Jan, 2021.

Bagi asas perbandingan mingguan bermula Khamis lepas, ringgit menokok 390 mata asas kepada 4.0200/0250 berbanding dolar AS daripada 4.0590/0620 pada minggu sebelumnya.

Dalam pada itu, ringgit juga diniagakan tinggi berbanding kelompok mata wang utama kecuali dolar Singapura.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun pada 3.9018/9078 daripada 3.9153/9193, mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4905/4977 daripada 5.5186/5243 dan meningkat berbanding euro kepada 4.9358/9427 daripada 4.9479/9528, Khamis lepas.

Namun berbanding dolar Singapura, ringgit susut kepada 3.0395/0444 daripada 3.0537/0571, sebelum ini.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619